Sunday, February 3, 2013

Grasshopper FC vs KulitKraf (Liga FAS 2013 Perdana)


LIGA PERDANA FAS
GRASSHOPPER FC VS KULITKRAF
Result 2-1

Tarikh/Hari: 3Feb2013 (AHAD)
445 petang
Padang: Bukit Lanchung, Seksyen 28 Shah Alam.

Walaupun Grasshopper memulakan kempen 2013 dengan langkah kiri apabila tumpas mengejut 3-1 dengan lawan dari Divisyen 1 dalam Piala FA awal Januari lepas, nyata Sang Belalang telah melupakan kekalahan tersebut apabila mempamerkan permainan kental menjelang perlawanan Liga Perdana ini.

Perlawanan yang bermula tepat seperti dijadualkan di dalam gerimis halus menyaksikan KulitKraf, berjersi putih, terlebih dahulu menyesuaikan permainan dengan keadaan padang setelah beberapa kali mengatur serangan ke arah kubu GFC. Berjersi biru cair, GFC walaupun berjaya memerangkap offside penyerang Kulitkraf beberapa kali, akhirnya kekurangan komunikasi di antara pemain pertahanan GFC dihukum lawan. Berpunca dari satu through-pass ke sayap kanan, 2 pemain KulitKraf lolos berdepan dengan penjaga gol. Walaupun cuba dipintas pertahanan tengah, pemain sayap itu berjaya membuat hantaran lintang rendah kepada penyerang yang bersendirian untuk menolak mudah bola ke jaring.

GFC segera bertindak balas dengan beberapa cubaan jarak jauh serta gerakan-gerakan di dalam kotak penalti lawan tetapi gagal menghasilkan penyudah yang diharapkan. GFC juga melakukan pertukaran awal apabila terpaksa mengeluarkan bek kiri, Bad yang cedera dan memasukkan pemain lincah Faiz. Separuh masa berakhir 1-0 memihak Kulitkraf.

GFC memulakan separuh masa kedua dengan 1 lagi pertukaran memasukkan Arif untuk mengisi posisi attacking midfielder. Permainan separuh masa kedua dikawal oleh GFC dan akhirnya Arif berjaya meledak satu rembatan menjunam dari luar kotak penalti yang gagal digapai penjaga gol Kulitkraf. Umpama mendapat suntikan semangat baru, GFC meningkatkan serangan demi serangan yang menyaksikan satu tendangan percuma menggegar palang gol lawan.

Kulitkraf juga tidak kurang hebatnya apabila turut mempamerkan nafsu untuk menang apabila beberapa kali berjaya masuk ke kotak penalti GFC tetapi tiada gerakan penyudah nyata mengecewakan mereka. GFC melakukan pertukaran terakhir yang juga merupakan perubahan taktikal. Sayap kiri dikeluarkan dan memasukkan Bahrin, bek kanan. Pertukaran ini menolak bek kanan asal, Qayyum sebagai wing kiri. Dengan perlawanan berbaki kurang 10minit, berpunca dari satu sepakan sudut yang gagal dikeluarkan Kulitkraf, Faiz mengawal bola dalam kotak penalti sebelum mengumpan kepada Qayyum yang dengan tenang melencongkan bola ke kanan gawang Kulitkraf untuk gol kedua GFC.

Kulitkraf juga menggunakan sepenuhnya kuota pertukaran mereka tetapi breakthrough yang diharapkan mereka tidak menjadi. Pertahanan GFC berjaya mengekalkan disiplin bertahan untuk terus mengekang asakan lawan dan akhirnya perlawanan tamat memihak GFC 2 berbalas 1.

Perlawanan ini turut menyaksikan beberapa layangan kad kuning yang berpunca dari terjahan-terjahan keras dari Kulitkraf, dan juga 1 kad kuning kepada penjaring kemenangan, Qayyum kerana gagal mengawal sikap terhadap pengadil. Permainan turut dihentikan beberapa kali kerana pemain kedua-dua pasukan mengalami kejang otot, dan juga kapten GFC, Hazli yang tercedera bahu kanan.

Kemenangan GFC ini pasti membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan liga dengan lebih cemerlang, dan pastinya Kulitkraf akan bertindakbalas dari kekalahan ini dalam perlawanan seterusnya.

Muhammad Alif Firdaus, penyokong GFC termuda pada perlawanan ini. 5bulan setengah.

No comments:

Post a Comment